Jumaat, 18 Disember 2009

Ketuanan Melayu - Respon UMNO Bandar Klang Selatan - Ketidakjelasan Justin Ong (The Malaysian Insider)

Salam & selamat sejahtera buat teman-teman pembaca,

Saudara Justin Ong seorang wartawan dari The Malaysian Insider telah menulis satu artikel di dalam akhbar Cina, Sin Chew,

http://www.mysinchew.com/node/32768?tid=14

yang menceritakan ketidakjelasan beliau terhadap definisi dan maksud Ketuanan Melayu dalam konteks realiti sebenar.

Di sini kami ingin jelaskan bahawa Perbincangan konsep ketuanan Melayu dan kenegaraan Malaysia memerlukan pemahaman empat perkara asas berikut:

1. Timbal Balas (Quid Pro Quo)


Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika ini British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.

Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.

Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.

Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai 'kontrak sosial.' Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

2. Artikel 153
.

Secara ringkas artikel ini menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebagai Ketua Negara Malaysia, untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak (secara kolektif dipanggil bumiputera) dalam hal ehwal seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain.

Artikel 153, di samping status Yang di-Pertuan Agong itu sendiri sebagai orang Melayu dan Raja Melayu adalah asas kepada kemutlakan ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Pemaktuban Artikel 153 ini sama sekali tidak menjadikan kaum bukan Melayu warganegara kelas kedua. Salah faham mengenai Artikel ini, jika ada, sebenarnya adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan demi mencapai cita-cita politik dan peribadi songsang.

3. Kehilangan Singapura

Singapura diterima masuk ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sebelum ia kemudiannya disingkir pada 9 Ogos 1965. Kemasukan Singapura menyebabkan populasi kaum Cina meningkat sehingga 35.7 peratus berbanding kaum Melayu iaitu 38.4 peratus (In-Won Hwang, Personalized Politics; The Malaysian State Under Mahathir, ISEAS, Singapore, 2003, pg.54).

Dominasi kaum Cina dan pengenalan polisi bukan pro-Melayu di Singapura mendorong kepada meletusnya beberapa rusuhan kaum di pulau tersebut. Ketidakstabilan Singapura akhirnya mendorong kepada penyingkirannya daripada Persekutuan Malaysia.

Episod rusuhan kaum di Singapura dan kesanggupan Kerajaan Malaysia untuk kehilangan sebuah 'tanah Melayu' merupakan sesuatu yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan. Demi keharmonian dan keamanan Malaysia keseluruhannya, kepentingan penduduk asal dan pulau Singapura terpaksa 'diketepikan.'

Bagi kebanyakan orang Melayu, episod Singapura adalah lambang kegagalan ketuanan Melayu. Justeru, ini juga adalah antara faktor utama sehingga kini, mengapa orang Melayu begitu sensitif apabila konsep ketuanan Melayu dipersoalkan.

Agenda Malaysian Malaysia

Democratic Action Party (DAP) antara lain, meneruskan agenda Malaysian Malaysia (selepas pengharaman PAP di Malaysia) secara terbuka ke seluruh negara. Kempen berkaitan agenda ini menjadi amat popular terutama menjelang pilihan raya tahun 1969. Keputusan pilihan raya 1969 yang tidak memihak kepada Kerajaan Perikatan (kehilangan Pulau Pinang, Perak dan Kelantan dan 2/3 majoriti di Parlimen) memburukkan lagi suasana. Ketidaktentuan keadaan politik semasa akhirnya menyebabkan terjadinya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Rusuhan tersebut menyebabkan Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa polisi affirmative yang merupakan sebahagian daripada usaha melindungi agenda atau konsep ketuanan Melayu. Antaranya ialah pindaan Perlembagaan yang mengharamkan sebarang perdebatan (termasuk dalam Parlimen) ke atas hak dan kedudukan istimewa bumiputera, penambahan skop dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemaktuban kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.

Langkah sosio-ekonomi yang paling utama pasca tragedi 13 Mei yang dilancarkan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan, memansuhkan penyamaan identiti kaum dengan peranan ekonomi, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan meluaskan kek ekonomi.

Tiada ulasan: