Khamis, 27 Ogos 2009

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

Golongan Baba dan Nyonya telah tiba di Melaka pada beberapa abad dahulu dan sesetengahnya sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka lagi. Di dalam komuniti Baba Nyonya, kaum lelaki dipanggil ‘Baba’, dan kaum wanita dipanggil ‘Nyonya’. Kaum Baba Nyonya juga ada yang dipanggil dengan panggilan ‘Cina Peranakan’ dan juga ‘Straits Chinese’ (Cina Selat).

Golongan Baba & Nyonya ini boleh bertutur dalam Bahasa Melayu walau pun ada sedikit berbeza dari segi sebutan. Golongan ini suka berpakaian Melayu iaitu sarung kebaya beserta dengan kerongsang. Masakan pula banyak mirip kepada masakan Melayu, misalnya cili dan belacan yang begitu asing sekali bagi Masyarakat Cina. Masyarakat Baba dan Nyonya juga suka berpantun dan suka menyanyi lagu ‘Dondang Sayang’, malah suka menonton bangsawan dan ada yang menubuhkan kumpulan bangsawan.

Kemurniaan golongan ini mulai pudar akibat kedatangan orang-orang Cina ke Tanah Melayu yang memulakan perlombongan bijih timah di kawasan Kesang dan juga mengusahakan pertanian di negeri Melaka, terutamanya diantara tahun 1834 hingga 1848. Dengan wujudnya perkembangan industri perlombongan di Melaka maka wujudlahlah pula kumpulan-kumpulan kongsi gelap, di mana kumpulan kongsi gelap yang pertama ditubuhkan di Melaka ialah Hai San dimana keahlianya adalah terdiri daripada Cina Peranakan, Melayu, Bawean, dan India.

Di dalam abad ke -20 telah menampakkan perkembangan nasionalisme Cina. Ini menimbulkan krisis identiti di dalam kaum Baba. Untuk menjadikan orang Cina yang sejati, seseorang Cina itu hendaklah bertutur bahasa Cina di dalam mana-mana loghat yang terdapat di dalam masyarakat Cina, serta mengamalkan kebudayaan Cina. Pada masyarakat Baba Nonya mereka adalah merupakan kaum yang mempunyai pengaruh di dalam budaya Melayu: bercakap Melayu, mengamalkan budaya Melayu dan sudah lupa pada bahasa asal mereka iaitu bahasa Cina.

Bagi kaum Cina, Kaum Baba Nyonya tidak dianggapkan sebagai orang Cina. Itulah sebabnya semasa pemerintahan British di Melaka, melalui persatuan mereka, ‘The Straits Chinese British Association’ , telah mendesak Kerajaan British mengiktiraf mereka sebagai rakyat British sepenuhnya tetapi gagal.
Komuniti ini semakin pupus hari ini akibat dari arus zaman dan komuniti cina yang semakin hari semakin besar lantas tidak meneruskan budaya nenek moyang mereka (Baba & Nyonya). Orang Cina zaman dahulu amat menghormati orang Melayu dan adat orang Melayu itu sendiri. Semangat muhibbah dan toleransi diantara kaum membuatkan kita akrab dan saling memahami serta menghormati antara satu dengan yang lain. Semangat kebangsaan kita kuat pada masa itu.
Kenapakah semangat seperti itu sudah tiada lagi sekarang? Kehidupan kita semakin ditelan zaman dan golongan kita semakin mementingkan diri sendiri. Segala-galanya telah menjadi mudah dan kita terperangkap dengan corak kehidupan yang berasaskan teknologi yang mungkin tak berpenghujung serta merupakan senjata halus yang membunuh sifat jati diri kita.
Sejarah sudah tidak lagi penting bagi golongan muda sekarang. Kita memilih untuk menjadi lebih liberal seperti yang dituntut oleh golongan-golongan yang berkepentingan di beberapa negara-negara maju walaupun kesan moralnya amatlah rendah dan menjijikkan.
'Hari itu sudah pun berlalu.'
"Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke 52"
Ikhlas dari saya,
Wan Ahmad Khalid Abdullah
Ketua Pergerakan Pemuda
UMNO Cawangan Bandar Klang Selatan
Bahagian Kota Raja

Tiada ulasan: