Ahad, 19 Julai 2009

KATA-KATA ALUAN - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja

Saudara Perwakilan,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. saya berdoa agar kita semua berada di dalam rahmat Allah SWT . Dengan dlimpah kurnia Nya jua kita dapat melaksanakan tanggungjawab mengadakan Mesyuarat Tahunan Pemuda Cawangan-cawangan dan seterusnya Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja tahun 2009. Semoga mesyuarat kita pada tahun ini berjalan lancar dan sempurna sesuai dengan kehendak Parti dan selaras dengan perlembagaannya.
Setelah lebih setahun kita dikejutkan dengan keputusan pilihanraya umum ke 12 saya percaya, seperti mana-mana ahli UMNO di seluruh negara, kita semua telah merasakan keperitan dan kepahitan khususnya dalam meneruskan agenda utama Parti termasuk usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO. Kita juga seharusnya telah selesai melalui proses kesedaran, muhasabah serta penilaian dan bersedia dengan semangat dan idea yang baru untuk mengorak langkah ke hadapan. UMNO juga telah selesai melalui satu proses penting yang mana perubahan pimpinan tertinggi dan akar umbi serta barisan kabinet yang baru sepatutnya tidak lagi memberi kita alasan untuk tidak segera bertindak sebagai satu pasukan tanpa menuding jari dan menyalahkan diantara satu sama lain.
Dengan selesainya proses perubahan pimpinan ini saya yakin Umno kini bersedia melakukan transformasi, mengambil iktibar daripada kata presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam Persidangan yang lepas bahawa parti ini harus "berubah" atau "rebah" dalam pilihan raya umum akan datang.
Perkataan keramat ini telah mendapat sambutan daripada perwakilan persidangan yang menggariskan beberapa teras penting, menghapuskan politik wang, penghapusan kuota dalam pemilihan calon bertanding, perluasan pemilihan dikalangan ahli kepada pemimpin parti, cadangan pindaan perlembagaan UMNO dilihat sebagai usaha berani dalam membaiki kemelut UMNO untuk mendapatkan semula keyakinan semula orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Kita juga tidak mampu lagi melihat bahawa apa yang 'dikata' tidak 'dikotakan'. Kita tidak mahu ucapan itu bagai kokok yang berdegar-degar tetapi tahi tersangkut di gelegar..
Majoriti orang Melayu adalah ‘penyokong senyap’ yang ingin melihat semula ‘angin perubahan’ dalam UMNO. Latihan yang tersusun amat perlu bagi mewujudkan perkaderan ahli UMNO di semua peringkat demi memberi impak besar kepada hala tuju UMNO selepas ini. Ahli UMNO harus diberi kefahaman tentang budaya, matlamat, perjuangan dan tradisi UMNO. Budaya cantas mencantas, memintas ahli-ahli cerdik dan ikhlas, politik wang, kroni, berpuak-puak wajar terus dihapuskan untuk menjernih UMNO sebagai parti perjuangan yang tulin. Pemimpinnya perlu merendah diri, bukan untuk dipijak tetapi untuk sama menyelami kehendak dan berkhidmat untuk rakyat. Membuang sifat elitis, dan menggambarkan parti UMNO dipunyai oleh rakyat. Inilah janji-janji yang perlu ditunaikan oleh kita

semua sebagai pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat. Tanggungjawab besar tergalas di bahu kita semua, tanggungjawab sebagai khalifah parti UMNO dan juga jentera-jentera parti yang benar-benar faham akan perjuangannya.

Memang masih terlalu awal untuk menilai sama ada UMNO berjaya mentransformasi dirinya, tetapi sekurang-kurangnya saya melihat semangat dan keazaman sudah mulai disemai, pada persidangan ini.

Akhir sekali, saya memohon kepada setiap pemimpin pemuda cawangan, ketua-ketua zon, pengerusi-pengerusi biro, ahli jawatankuasa pemuda Bahagian, perwakilan mesyuarat dan tiap-tiap ahli Pemuda UMNO untuk memikul semua tanggungjawab ini bersama, dengan satu hala tuju, seganding sebahu.
Saya mendoakan agar mesyuarat kita berjalan dengan sempurna, berjaya dan mencapai matlamat yang diharap-harapkan semua.
Sekian, Salam Perjuangan & Selamat Bersidang.
NUR AZMAN ANUARUL PERAI
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN KOTA RAJA

Tiada ulasan: