Ahad, 10 Februari 2008

Sejarah Bandar Klang


Latar Belakang Bandar Klang

Bandar Klang terletak di dalam Daerah Klang. Ia dihubungkan dengan Bandaraya Kuala Lumpur oleh dua batang jalan utama iaitu Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Lembah Klang. Sungai Klang yang mengalir di tengah-tengah bandar Klang secara fizikalnya memisahkan bandar Klang kepada dua bahagian iaitu Klang Utara dan Klang Selatan. Klang Utara merupakan pusat perniagaan dan perkhidmatan utama yang kebanyakkannya terdiri daripada bangunan baru. Klang Selatan pula adalah kawasan perniagaan lama sebelum perang dan institusi.

Asal-Usul Nama Klang

Nama Klang juga berasal daripada bunyi yang dihasilkan daripada loceng yang diikat pada gajah yang merupakan kenderaan utama di zaman dahulukala.

Ada juga yang mengatakan nama Klang berasal daripada penduduk Cina yang sering mengutip 'Kerang' di muara sungai. Disebabkan pelat pada sebutan mereka, maka mereka menyebut 'kerang' sebagai 'Klang' dan akhirnya kawasan itu dikenali sebagai 'KLANG'.

Asal-usul nama Klang adalah daripada bahasa Mon-Khymer "Klong"."Klong" boleh diertikan sebagai gudang dan tempat simpanan barang-barang, terusan atau jalan air. Ini kerana apabila Klang menjadi sebuah pelabuhan terpenting tentu sekali banyak didapati gudang-gudang di sekitarnya untuk kemudahan pedagang-pedagang manakala jalan air pula merupakan anak-anak sungai yang mengalir masuk ke Sungai Klang dan menjadi jalan untuk mengangkut bijih timah dan hasil-hasil daripada kawasan pedalaman.

Sejarah Berkaitan Bandar Klang

Setelah Opu Daeng Celak mangkat di Riau ( 19.5.1745 ) kesultanan diteruskan pula diSelangor oleh Sultan Salehuddin. Pada masa itu orang-orang Belanda membeli bijih timah dari Klang. Pada 1805 Perak ditawan semula oleh Selangor yang diketuai oleh Raja Jaafar dan saudaranya Raja Idris dan Raja Ahmad. Mereka berjaya menguasai perusahaan bijih timah di Klang dan menghubungkan diantara Klang dan Melaka. Setelah itu Raja Jaafar kembali semula ke Riau untuk menjadi Yamtuan Muda Riau.

Dekad kedua abad ke-19, bijih timah dilombong di Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang. Sungai Klang merupakan kawasan perlombongan utama. kawasan lain seperti Penaga, Petaling, Serdang, Junjong, Pantai Rasa, Kuala Bulu, Gua Batu dan Sungai Lumpur.

Pada 1818 hasil lombong dari Sungai Selangor dan Sultan Klang sebanyak 2,000 pikul setahun. 1830-an bijih timah dari Klang, Lukut dan Langat menyumbangkan hasil bijih sebanyak 3,600 pikul setahun.

Pada 1849 setelah Raja Suleiman berkuasa, kuasa pembesar di Sungai Selangor dan Lembah Klang diserahkan kepada Raja Abdullah bin Raja Jaafar. Beliau berjaya mencari dan membuka kawasan perlombongan bijih yang baru. Setelah itu, Raja Abdullah telah membina sebuah gedung yang cukup terkenal hingga ke hari ini iaitu Gedung Raja Abdullah pada tahun 1857.

Pentadbiran Awal Klang

Klang telah menjadi pusat pentadbiran pada 1880 dan pada 1890 telah dijadikan sebuah daerah setelah pusat pentadbiran berpindah ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1889 telah dibina istana baru yang dikenali sebagai Istana Mahkota Puri bagi menggantikan Istana Bandar yang terletak di Jugra sebagai Pusat Pemerintahan Diraja Selangor. Pada ketika itu Sultan Selangor Sultan Alaeddin Suleiman Shah telah bersemayam di Istana Mahkota Puri pada tahun 1903.

Setelah baginda mangkat (1938), Tengku Alam Shah jadi Sultan Selangor (1938-1942 dan 1945 - 1960). Semasa pemerintahan baginda, Istana Mahkota Puri dirobohkan dan digantikan dengan Istana Alam Shah (1950).

Pada 1960 Sultan Salehuddin telah ditabalkan menjadi Sultan Selangor setelah Sultan Hisamuddin mangkat dan secara tidak langsung Sultan Salehuddin memangku jawatan Yang Dipertuan Agong. Di bawah Sultan Salehuddin Istana Alam Shah telah dijadikan tempat untuk semua acara rasmi kerajaan dan pada ketika itu Istana Kayangan di Shah Alam telah dijadikan istana persemayaman rasmi bagi DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah.

Perkembangan Bandar Klang

Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Klang adalah sebahagian daripada kawasan jajahan takluknya. Ia diperintah oleh Tun Perak yang kemudiannya dipanggil untuk berkhidmat di Melaka dan telah menjadi seorang Bendahara yang terkenal. Ketrampilan hebat Tun

Perak itu juga telah menyebabkan Klang menjadi terkenal dan masyhur. Sungai Klang merupakan nadi kepada pembangunan dan perkembangan Klang dan kawasan sekitarnya pada masa itu. Muara Sungai Klang menjadi pintu masuk utama yang mengawal keluar-masuk hasil mahsul dan barang dagangan kawasan Lembah Klang dengan pedagang asing. Bagaimanapun perkembangan Klang pada masa itu hanya tertumpu pada bahagian selatan Sungai Klang sahaja. Ia dapat ditunjukkan dengan terletaknya jumlah bangunan lama sebelum perang yang banyak di Klang Selatan.

Tiada ulasan: